3 Cara Mudah Tanam Terung Asam Sarawak. Cara No.1 & No.3 Paling Sukses

Buah Terung Asam Sarawak

Terung Asam Sarawak atau juga dikenali sebagai Terung Dayak memang antara sayuran ‘rare’ dan jarang dilihat di pasar-pasar Semenanjung Malaysia. Ianya sangat popular bagi rakyat Sarawak dan  menjadi pilihan ramai dengan dimasak bersama ikan salai lumek dan dibuat sambal mahupun dimasak sup.

Memandangkan saya peminat sayuran terung ini, saya cuba untuk menanam sendiri dan tambahan amat jarang menjumpai buah ini dijual di pasar tamu.

Biji Benih Terung Asam Sarawak
Biji Benih Terung Asam Sarawak

Pertengahan bulan Januari  yang lepas, saya ada membuat semaian biji benih terung ini dan sepanjang proses pembesaran dari biji benih kepada pokok yang matang/besar memang memerlukan kesabaran. Bukan sahaja memancing saja perlu sabar ya.

Kali Pertama Menanam Terung Asam Sarawak.

Pokoknya berduri dan boleh melukakan, manakala buahnya bulat berwarna kuning  jingga ketika masak cukup menarik perhatian. Buah yang dibeli diambil bijinya untuk dijadikan benih baru.

Saya membeli buah terung asam ini dengan harga yang agak mahal di Tamu Pekan Tuaran. Saya beranggapan mungkin ianya jarang ada dan hanya segelintir orang sahaja yang pandai makan sayuran ini.

Harga sebiji boleh mencecah RM5 di tempat saya Tamu Pekan Tuaran, Sabah.  Kalau di Sarawak, saya pernah membeli dengan harga 3/4 biji  dengan harga RM10.00.

Bila kali pertama menanam, saya tidak tahu berapa lama ianya akan berbunga, berbuah sehingga masak dan penyakit-penyakit yang biasa menyerang tanaman ini. Jadi, banyak juga carian di Google dibuat sambil bertanya kepada yang pernah menanam terung ini.

Saya memilih untuk menanam dengan tiga kaedah iaitu;

1. Kaedah konvensional. Cara ini paling mudah kerana pokok ini memang secara fitrahnya orang tanam di tanah dan pokok tidak perlu dibaja dan siram dengan kerap (musim hujan). Tanah di kebun saya boleh dikategori sebagai tanah yang subur dengan adanya cacing tanah dan ianya terkompos secara semulajadi.

Terung Asam Sarawak Ditanam di tanah.
Terung Asam Sarawak Ditanam di tanah.

2. Kaedah Hidroponik iaitu menggunakan air sebagai medium tanaman yang dicampur dengan air baja nutrisi AB. Cara ini pada peringkat awalnya sukses namun saya sendiri ‘angkat tangan’ pada bulan ke 4 kerana ianya terlalu cepat meyerap air baja mungkin disebabkan fizikalnya semakin membesar. Apabila air baja berkurangan, daun akan mula layu, kuning dan gugur. Saya biarkan sahaja pokok mati. Tambahan saya sendiri agak sibuk ‘outstation’ menyebabkan tanaman terbiar tanpa pengawasan.

Terung Asam Sarawak Ditanam Fertigasi & HIdroponik (Takungan)
Terung Asam Sarawak Ditanam Fertigasi (dalam polibeg hitam) & Hidroponik (bekas takungan putih)

3. Kaedah Fertigasi. Ini cara kedua yang sukses sehingga pokok berbuah ketika ini. Ianya mudah kerana kita sedia maklum, kaedah ini adalah sistem pengairan dan baja berjalan sekali gus. Ianya bergantung pada ketetapan masa siraman yang telah diset untuk baja nutrisi AB disalurkan ke polibeg tanaman. Pernah juga air baja nutrisi AB kehabisan stok dan tanaman disiram dengan dengan air paip sahaja. Jadi, daun mula akan kuning menandakan kekurangan nutrien.

Perlu Sabar Menanam Terung Asam Sarawak

Ya, kesabaran adalah perkara wajib. Bukan menanam sahaja malah untuk semua perkara. Bagi kes ini, saya menunggu hampir 5 bulan untuk melihat bunga pertama dari lebih kurang 12 pokok terung yang saya tanam,

Keadaan ini mungkin berpunca dari pembajaan saya yang tidak teratur. Selepas mula berbunga, saya membaja setiap 2 minggu sekali.

Bunga Terung Asam Sarawak
Bunga kelihatan selepas Terung Asam Sarawak berusia lima bulan.
Terung Asam Sarawak
Buah Terung Asam Sarawak selepas enam  bulan ditanam,

Info Mengenai Terung Asam Sarawak

TERUNG DAYAK (Solanum ferox Linn) merupakan sejenis lagi terung yang terdapat di Malaysia dalam keluarga Solanaceae. Terung dayak juga dipanggil sebagai Terung Pasai (Brunei),Terung asam; Cung Bulu (Indonesia), Terung Dayak; Terung Iban; Terung Asam (Malaysia), khua khon (Laos), tabanburo; tagatum (Filipina), sinkade (Myanmar), mapu; yongkuidi (Vietnam) dan muuk (Thailand).

Keluarga Terung (Solanaceae) didunia mempunyai lebih dari 1,500 species yang tumbuh yang kebanyakkannya di kawasan tropika dan sub-tropika. Dari jumlah tersebut sebanyak 25 spesis terdapat dikawasan Asia Tenggara dan cuma 5-7 spesis sahaja yang boleh dimakan (edible) dan ditanam (domesticated). Terung Dayak tidak diketahui asal usulnya tetapi terung ini hidup liar di Asia Tenggara, Papua New Guinea dan Amerika Selatan.

Terung Dayak mempunyai buah yang sangat masam dan digunakan sebagai sayuran . Terung ini juga digunakankan dalam masakkan kari dan di Thailand terung dayak dimasak sebagai “nam prek”, dimasak dengan nasi di Indonesia yang akan melembutkan nasi dan menambahkan perisa nasi tersebut. Terung tersebut kemudian dimakan dan hilang rasa masam.

Kandungan 100 g terung dayak mempunyai nilai pemakanan air (89g), protin (1.4 g), lemak (1 g), Serat (1.5 g), Ca (13 mg) dan tenaga sebanyak 168 kJ. Buah ini juga mengandungi bahan kimia iaitu solanine iaitu alkoloid yang kurang beracun berfungsi seperti bahan saponin dalam darah. Kemasaman yang terdapat pada terung dayak menyebabkan kita tidak boleh makan mentah atau segar selepas dipetik. – Kredit: Anim Agro Technology

p/s: nanti saya akan kongsikan cara memasak terung ini pula ya. Boleh lihat perkembangan terkini terung asam ini di Facebook, saya selalu update.

Anda boleh rujuk Kategori Petanian untuk maklumat lain ya.

Jangan lupa Subscribe Channel YOUTUBE saya!

About Encik Mus

Minat Pertanian, Fotografi & Blogger Separuh Masa

View all posts by Encik Mus →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *